Di dalam hidup ini, ada beberapa kali saya meluahkan kepada Ummi dan Abah bahawa saya mahu berkahwin. Saya tidak pernah segan untuk berbicara perihal itu dengan Ummi Abah saya. Saya tidak pernah takut jika mereka menolak, dan tidak pernah rasa rendah dengan pandangan-pandangan yang diberikan mereka.
Satu perkara yang saya respect dengan Ummi Abah saya, adalah mereka mendengar.
Itu satu perkara yang positif, yang saya kira patut dicontohi oleh ibu bapa hari ini. Bukannya terus mengherdik anak sebagai gatal, bukannya terus marahkan anak kemaruk, dan sebagainya.
Menghormati Ummi Abah yang sudi mendengar, saya pula mempersiapkan diri saya untuk mendengar pandangan mereka. Begitu. Apa pun pandangan mereka dalam hal ini, saya akan dengar, analisis, bukan terus memberontak tidak puas hati.
Kerana saya faham, saya masih muda.
Perlu ada keseimbangan semangat saya, dengan hikmah yang ada pada kedua Ummi Abah saya.
Hilal Mahu Kahwin.
Semasa saya cakap fasal perkahwinan dengan Ummi dan Abah, Abah adalah yang santai. Abah sekadar cakap, saya masih muda dan orang yang saya cinta juga masih muda. Abah pesan, agar diberikan masa.
Ummi pula, lebih kepada bagaimana mahu meneruskan hidup.
Ummi ada sebut bahawa jika mahu berkahwin, sediakan terlebih dahulu RM20,000.
Dan pada masa yang lain, Ummi sebut pula RM40,000.
Saya tidak bersama dengan remaja seangkatan dengan saya, yang jika Ibu Bapa berkata demikian, maka mereka akan mengangkat dalil-dalil betapa kahwin awal adalah digalakkan, dan betapa perkahwinan sederhana adalah apa yang agama anjurkan.
Saya ketika itu, melihat pandangan Abah dan bicara Ummi, dari satu perspektif yang berbeza.
Saya tidak nampak mereka ‘menghalang’ saya mahu berkahwin.
Tetapi saya nampak, mereka sedang ‘mendidik’ saya yang mahu berkahwin.
Mabuk Cinta dan Masa.
Kita ini, bila sudah jatuh cinta, kita biasanya akan jadi ‘mereng’ sedikit. Ketika itu, rasa orang yang kita cinta itu seperti bidadari daripada syurga. Kalau yang perempuan, rasa seperti malaikat yang turun daripada langit.
Kalau yang bercouple, lagi jauhlah perginya. Hatta yang tidak bercouple, yang syok sendiri macam saya ini pun, seperti terangkat ke langit buatnya bila serius mahu mencintai seseorang.
Maka adalah relevan pesan Abah, untuk diberikan masa. Bukan semata-mata untuk saya membesar. Tetapi adalah untuk diberikan kepada akal dan jiwa saya ini ruang untuk berfikir dengan lebih panjang, dan mempertimbangkan pilihan saya.
Mahu hidup sampai mati bersama. Susah senang bersama. Sakit sihat bersama. Mentarbiyah diri bersama. Membina Ummah bersama. Maka semestinya perlukan pertimbangan. Bukan sekadar dipandu perasaan.
Ummi ada berkata kepada saya masa itu:
“Awak belum jumpa ramai orang lagi. Nanti awak jumpa ramai orang, mungkin awak berubah fikiran.”
Saya tidak memberontak dengan berkata: “Apalah Ummi, orang suka kat dia!”
Tetapi saya sekadar diam dan mengakui, ada relevannya dalam kata-kata Ummi. Benar, belum jumpa ramai orang. Saya jatuh cinta semasa saya masih tingkatan enam atas. Dalam keadaan, perempuan yang saya cintai tidak mengetahui. Sebab itu, mengambil nasihat Ummi Abah, saya berikan diri saya masa. Walaupun saya meluahkan perasaan dan hajat say akepada abang perempuan yang saya cintai, saya tahu abangnya tidak mampu membuat keputusan, menyebabkan saya rasa memberitahunya adalah keputusan yang selamat. Sekadar mahu ada keluarganya yang tahu, agar kalau ada apa-apa, boleh diberitahu kepada saya. Kalau apa-apa berlaku pada saya, berubah hajat, maka memberitahu seorang abang, tidaklah sesukar memberitahu kepada Ibu Bapa.
Saya amat sedar. Maka saya berikan diri masa.
Bila sampai ke Jordan, di situlah tapak muhasabah saya. Saya akan sembangkan perihal saya di Jordan dalam lembaran lain. Sekadar fokusnya di sini, betapa saya memandang memberikan masa kepada diri itu penting.
RM20,000. RM40,000.
Saya tidak memandang Ummi saya mata duitan. Tidak pula saya memandang Ummi saya seorang yang inginkan perkahwinan mewah. Bukan kerana itu dia sebut angka-angka tadi.
Tetapi ingin menyedarkan saya, betapa duit adalah perlu dalam kehidupan hari ini.
Ya, kahwin boleh murah-murah.
Tetapi hidup tetap mahal dan menekan. Mungkin ikut tempat. Tetapi mustahil semua mampu hidup di kampung. Tuntutan hidup akan membuatkan manusia ada yang perlu memilih untuk hidup di tengah kotaraya dan bergadang dengan segala tekanannya. Dan hidup semakin hari semakin mahal dan menekan.
Maka tanpa persediaan kewangan yang baik, tanpa usaha untuk mencapai kemampuan berdikari, adalah satu ‘terjahan’ kurang bijak bagi mereka yang menganggap cinta adalah hendak bersama ke syurga.
Ummi mahu mendidik saya agar mencapai kemampuan itu. Maka kerana itu, saya lihat dia menyebut angka-angka tersebut. Saya jadi lebih yakin kerana, Ummi ketika saya menulis artikel ini, sibuk menawarkan diri untuk menaja itu dan ini bagi majlis perkahwinan saya. Nyata, dia bukan mahu pun duit saya. Tetapi semasa saya minta untuk berkahwin, dia menyebutnya agar saya rasa keperluan untuk mencari wang sendiri. Membina kemampuan.
Ummi tidak memperlekehkan saya dengan ayat seperti: “Kau nak bagi anak orang makan apa? Pasir?” Tidak.
Tetapi Ummi memberikan saya ‘aras’. RM20,000. RM40,000. Seakan-akan, jika saya mampu capai wang itu, dia benarkan saya berkahwin. Dan itu membakar semangat saya untuk berusaha!
Remaja Hari Ini
Hari ini kita tahu bahawa hal seperti nikah khitbah, kahwin awal, majlis kahwin murah, diangkat-angkat remaja hari ini yang ingin berkahwin. Bukanlah saya mahu nyatakan semua itu salah dan tidak patut dibuat. Dari satu segi, semua itu benar.
Tetapi saya rasa, kurang sihat untuk kita angkat isu nikah khitbah, kahwin awal, majlis kahwin murah, untuk sekadar memenuhi kemaruk cinta kita. Bagi yang tidak kemaruk itu, yang benar-benar menjalani jalan cinta ini dengan baik, dan benar-benar perlu bernikah khitbah, perlu kahwin awal dan punya perancangan akannya, dan inginkanmajlis kahwin yang murah kerana ingin mengikuti anjuran Islam, itu nyata baik!
Silapnya adalah apabila kita gunakan ini semua, sebagai hendak menghalalkan ketergesaan kita dalam hal ini. Saya sepanjang menjadi penulis, orang mula mengetuk inbox saya bertanya pelbagai soalan. Antaranya, adalah remaja-remaja yang terkilan dengan Ibu Bapa mereka kerana menyatakan mereka masih muda dan tidak berduit untuk berkahwin. Mereka mula meminta saya mencari dalil-dalil, agar ibu bapa mereka membenarkan mereka berkahwin.
Saya yakin, ada sahaja Ibu Bapa yang tidak reasonable. Namun itu kita ketepikan dahulu.
Pertamanya, remaja kena tanya diri mereka, reasonablekah mereka dalam minta kahwin awal, nikah khitbah dan menggunakan alasan majlis murah dianjurkan Islam, semata-mata atas kemaruk cinta mereka? Ada perancangan tidak? Bagaimana kemampuan, usaha untuk mencari kemampuan, sudah bergerak atau tidak?
Itu perlu dilihat semula.
Saya sendiri buat kertas kerja untuk Ummi Abah saya, selepas mendengar nasihat mereka.
Tetapi Kami Telah Bercinta Lama!
Bila saya nyatakan perihal jangan tergesa-gesa, ada sebahagian remaja membalas bahawa mereka telah bercinta lama. Yang menjadi satu kehairanan saya adalah, bagaimana sudah bercinta lama, kemudian Ibu Bapa tidak membenarkan? Ibu Bapa tidak tahukah anda bercinta? Ya. Di situ satu masalah.
Remaja suka laksanakan segala perkara sendiri. Ini sebenarnya satu masalah.
Sepatutnya, semasa ada perasaan pada seseorang, sebelum cakap pada orang itu kita suka pada dia, cakap pada Ibu Bapa kita dahulu. Supaya kita ada pandangan satu lagi, untuk mengimbangi pandangan kita. Untuk benar-benar menilai, apakah benar si dia itu yang mahu kita jatuhkan hati kita kepadanya?
Ini sudah bercinta panjang, bila sampai part nak kahwin, baru nak libatkan Ibu Bapa. Bila Ibu Bapa rasa kurang senang dengan pilihan kita, kita pula marah. Sedangkan, kita yang tidak beritahu semenjak awal.
Banyak persoalan yang saya terima, semuanya tidak merujuk Ibu bapa mereka.
Takut Ibu Bapa Marah.
Ramai yang menjawab sedemikian, apabila ditanya mengapa tidak memberitahu, tidak merujuk kepada Ibu Bapa. Takut Ibu Bapa marah.
Dari satu segi, saya suka kata bahawa Ibu Bapa ini tidak akan marah tidak tentu fasal. Mungkin kita sendiri tidak buktikan diri kita bahawa kita layak untuk bercinta dan berumahtangga. Di rumah, sikap kita dengan Ibu Bapa pun tidak baik. Kita terkenal di dalam keluarga sebagai malas. Kita terkenal di dalam keluarga sebagai yang tidak pernah mengemas rumah dan ringan tulang membantu Ibu Bapa. Mungkin.
Namun untuk adil, saya juga mengakui ada sahaja Ibu Bapa yang tidak reasonable. Suka memandang rendah kepada anak-anaknya. Kemudian sibuk berkata bahawa dia lebih kenal anaknya. Merasakan dia berhak kepada segala perkara dalam hidup anaknya. Ibu Bapa yang bila si anak sudah sanggup menjadikan mereka sebagai rujukan, mereka menyindir dan merendah-rendahkan pula anak mereka.
“Hang nak bagi anak orang makan apa? Pasir?” Begitulah antara yang biasa saya dengar.
Sepatutnya, Ibu Bapa perlu memimpin anak-anak bagaimana untuk bercinta, dan bagaimana untuk berumah tangga. Bukannya mencalarkan perasaannya sedemikian rupa.
Ibu Bapa yang bersikap begini, tidak hairanlah anak-anak tidak mahu merapatinya, lantas mencari orang lain untuk mendapatkan pandangan, atau memberontak melakukan sendiri segala tindakan.
Ibu Bapa perlu bijak di dalam hal ini. Hikmah dan kebijaksanaan itu sangat penting.
Penutup: Kita dengan Ibu Bapa, Orang Tua, Perlu Kolaborasi.
Saya sentiasa memandang, bahawa orang yang benar-benar serius di dalam cintanya, pasti akan melibatkan ibu bapanya, orang tua. Sebab mereka akan sentiasa sedar bahawa, mereka secara sendirian untuk menghadapi dugaan cinta yang penuh ranjau, dan membina rumahtanga yang besar tanggungjawabnya, adalah mustahil.
Perlukan petunjuk, daripada yang berpengalaman.
Maka Ibu Bapa, orang tua, adalah antara tempat rujuk yang mesti.
Bersembanglah, beranikan diri bertanya. Ajak kepada perbincangan. Mohon pandangan.
Saya yakin, jika remaja berani melakukan sedemikian, dan Ibu Bapa berhikmah dalam menguruskan keadaan, maka pastinya perjalanan cinta di atas dunia ini akan menjadi bersih dan selamat.
Jika kecewa, ditolak dan sebagainya, Ibu Bapa ada untuk menenangkan kita. Ibu Bapa telah melihat kita berusaha. Ibu Bapa telah melihat bagaimana kita berusaha menjaga syara’ dalam cinta kita. Maka pastinya, Ibu Bapa akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada kita. Mereka yang usaha carikan seseorang yang baik buat kita, mungkin.
Saya sentiasa positif dengan kolaborasi remaja dan orang tua ini.
Kedua-duanya pada saya, perlu saling melengkapi.
Penulisan yang sgt baik....remaja perlu berani menyatakan hak dan kebenaran. Ibubapa perlu memahami kehendak dan keperluan anak... natijahnya untuk menghindarkan dosa dan kemaksiatan
ReplyDeleteSalam ukhuwah fillah drpd : suteraungu87.blogspot.com