Tuesday, October 1, 2013

Surah Al-Ikhlas

Surah ini mempunyai 4 ayat. Dinamakan Al-Ikhlas kerana surah ini sepenuhnya menegaskan kemurnian keesaan Allah s.w.t. Ianya juga menceritakan profil Allah.
Surah ini menyamai satu pertiga al-Qur’an. (Isu/konsep Aqidah Tauhid).

Isi penting surah:
Penegasan tentang kemurnian keesaan Allah s.w.t. dan menolak segala macam kemusyrikan dan menerangkan bahwa tidak ada sesuatu yang menyamai-Nya. kenapa ia dinamakan Al-Ikhlas? kerana kenalnya kita dengan Allah, membawa kepada Ikhlas (hanya kepada Allah)
Sebab turun ayat: Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa kaum musyrikin meminta penjelasan tentang sifat-sifat Allah kepada Rasulullah saw. dengan berkata: “Jelaskan kepada kami sifat-sifat Tuhanmu.” Ayat ini turun berkenaan dengan peristiwa itu sebagai tuntutan untuk menjawab permintaan kaum musyrikin.
(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah bersumber dari Ubay bin Ka’ab. Diriwayatkan pula oleh at-Tabrani dan Ibnu Jarir at-Tabari yang bersumber dari Jabir bin Abdillah dan dijadikan dalil bahwa surah ini Makkiyah. Sebahagian Ulama’ seperti Imam As-Suyuti berkata bahawa surah ini Madaniyyah sesuai dengan hadith Ibnu Abbas).



[قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ]
1. Katakanlah (wahai Muhammad): “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.
- Allah Yang Maha Esa. Tiada Tuhan melainkan Dia. Dialah Allah yang menciptakan segala-galanya. Dialah Allah yang mengatur dan menguruskan segala-galanya. Dialah Yang Maha Esa, Yang Maha Satu, Yang Maha Tunggal, hanya Dia Pemilik dan Raja ke atas segala-galanya.
 لا إله إلا الله !
- Apabila mendapat nikmat, ketahuilah segala nikmat itu adalah daripada-Nya.. Bersyukurkah kita? 
- Apabila diuji, sedarlah segala ujian itu adalah ujian daripada-Nya. Ketahuilah, Dia tidak menguji kecuali dengan apa yang disanggupi hamba-Nya.. Bersabarkah kita?
- Ayat ini menyedarkan kita bahawa kita ini hamba-Nya dan Dia adalah Allah Tuhan yang Maha Esa, kita menyerahkan segala hanya kepada-Nya. Segala harapan, segala urusan, kita hanya bergantung kepada-Nya yang Maha Esa.
apabila diuji ingat - kembali surah Al-ankabut ayat 2, 
                            - Allah akan memberi kebaikan setelah diberikan ujian
                            - ujian yang Allah berikan sesuai dgn kemampan kita.

[اللَّهُ الصَّمَد]
2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
- Segala sesuatu bergantung kepada-Nya kerana Dialah yang menciptakan segala sesuatu. Dialah al-Khaliq (الخالِق), dan selain daripada-Nya adalah makhluk (المخلوق).  
-Maka sebagai makhluk dan ciptaan-Nya kepada siapakah lagi yang layak untuk kita bergantung dan berharap? Hanya Dia Allah Tuhan yang Maha Pencipta! Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
- Setelah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa-apa pun cita-cita kita, adakah kita meletakkan sepenuh harapan kita kepada-Nya? Adakah kita percaya kepada-Nya? Adakah kita reda dengan takdir dan ketetapan-Nya? Ikhlaskah kita melakukan segala-galanya demi Dia?
- Tanda Allah SWT meredhai kita adalah dengan kita meredhai segala ketetapan-Nya.. yang baik mahupun yang buruk kerana semuanya adalah ujian dalam kehidupan di dunia yang sementara. رضيت بالله ربا (Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan)
 وبالإسلام دينا(dan dengan Islam sebagai agama/jalan kehidupan)
 وبمحمد نبيا ورسولا(dan dengan Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul/Utusan)

[لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ]
3. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan
- Ayat ini menafikan adanya Tuhan selepas Tuhan dan menafikan adanya Tuhan sebelum Tuhan, kerana Allah itu Tuhan yang Maha Esa, yang Maha Satu, yang Maha Tunggal.
- Tiada ibu bapa kepada Tuhan yang melahirkan-Nya, tiada pula anak Tuhan yang akan mewarisi, kerana Tuhan itu Maha Hidup dan tidak akan mati. Dialah Allah Yang Maha Awal dan yang Maha Akhir.
- Ayat ini membersihkan dan menyucikan sebarang keraguan dan bisikan-bisikan syaitan yang cuba meragukan manusia dengan wujudnya kemungkinan Tuhan itu beranak pinak seperti manusia dan haiwan, atau kemungkinan Tuhan itu ada ibu bapa dan keluarga.
- Ayat ini menegaskan bahawa beranak pinak dan berkeluarga itu hanyalah ciri-ciri makhluk dan Tuhan al-Khaliq (yang Maha Pencipta) tidak sama dengan makhluk-Nya.

[ِوَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُواً أَحَدٌ]
4. dan tidak ada sesiapapun yang sekufu/setara dengan-Nya.
- Tiada apapun yang sebanding dan setara dengan-Nya, kerana Allah ialah Tuhan yang Maha Esa. Dia langsung tidak sama seperti makhluk ciptaan-Nya. Tiada Tuhan selain Dia.
- Tiada yang lebih Pengasih atau memiliki kasih yang sama seperti kasih-Nya.
- Tiada yang lebih berkuasa atau memiliki kuasa yang sama seperti kuasa-Nya.
- Tiada yang lebih mengetahui atau memiliki pengetahuan yang sama seperti pengetahuan-Nya.
- Tiada yang lebih Adil atau memiliki keadilan yang sama seperti keadilan-Nya..
Dan begitulah seterusnya..
Apa yang kita ada, tidak terbanding dengan apa yang ada pada-Nya.
- Maka apakah perasaan seorang makhluk kepada-Nya?
Surah ini memberikan emosi/perasaan yang pelbagai kepada kita:
- Rasa tawadhu’ (rendah diri) kepada-Nya, sedar diri kita manusia pendosa yang sentiasa berharap keampunan dan rahmat-Nya..
- Rasa Izzah (harga diri) sebagai seorang Muslim, menyedari diri kita sebagai hamba Allah semata-mata membebaskan diri kita daripada kehambaan kepada selain-Nya.
- Rasa syukur dan sabar dalam setiap apa yang menimpa, baik ataupun buruk.
-Sentiasa berusaha untuk "IKHLAS” hanya kepada-Nya, sentiasa muhasabah/memperbaharui niat kita
Read More »
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...